SIARAN MEDIA
MENGENAI
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI MESYUARAT KE-49, KOMITI ASEAN MENGENAI KEBUDAYAAN DAN PENERANGAN
PADA 25 HINGGA 27 NOVEMBER 2014
DI SIEM REAP, KEMBOJA
TAJUK / CAPTION: “NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KOMITED KEPADA PERJALANAN ASEAN-COCI”
Siem Reap, Kemboja - 27 November 2014
Mesyuarat ke 49, Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (49th Meeting of the ASEAN Committee on Culture and Information - ASEAN COCI) telah berlangsung pada 26 dan 27 November 2914 di Siem Reap, Kemboja. Terdahulu, Mesyuarat-mesyuarat Sub-Komiti Kebudayaan dan Sub-Komiti Penerangan berjalan serentak pada 25 November.
Pembukaan Rasmi Mesyuarat disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Khieu Kanharith, Menteri Penerangan, Kemboja sementara Mesyuarat ASEAN-COCI dipengerusikan oleh Tuan Has Sam Ath, Pengerusi Kebangsaan ASEAN-COCI Kemboja.
Aturcara pembukaan rasmi Mesyuarat termasuk penganugerahan hadiah kepada pemenang “Asiavision Award for Annual Outstanding TV News” kepada “National Television of Cambodia” dimana Tuan Yang Terutama Dr. Khieu Kanharith, Menteri Penerangan Kemboja telah berkesudian menyampaikannya. Projek ASEAN Television News adalah merupakan projek yang dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 1998 sebagai salah satu projek tahunan ASEAN-COCI.
Pada utamanya, Mesyuarat ASEAN-COCI telah mempertimbangkan cadangan-cadangan projek bagi tahun kewangan 2015 bagi kedua-dua sub-komiti. Negara Brunei Darussalam telah mengetengahkan projek-projek “ASEAN Festival: Celebrating Rice as a Cultural Heritage” daripada Sub-Komiti Kebudayaan sementara “ASEAN TV News Year XXI” dan “A Project for ASEAN Digital Broadcasting” daripada sub Komiti Penerangan.
Projek-projek yang telah dipertimbangkan itu dan projek-projek yang telah dilaksanakan pada tahun kewangan 2014 dijangka akan terus menerus melihatkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mendokong aspirasi ASEAN ke arah Komuniti ASEAN pada tahun 2015 melalui cabang Kebudayaan dan Penerangan.
Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat tersebut diketuai oleh Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Samad, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Kebangsaan ASEAN-COCI Negara Brunei Darussalam dan disertai oleh Awang Mawardi bin Haji Mohammad, Pemangku Pengarah Penerangan selaku Pengerusi Sub-Komiti Penerangan; Awang Haji Mohammad Abdoh bin Haji Awang Damit, Pemangku Penolong Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Timbalan Pengerusi Sub-Komiti Kebudayaan; pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Radio dan Televisyen Brunei; Jabatan Penerangan; dan Jabatan Muzium-Muzium.
ASEAN-COCI mempunyai “website” yang boleh diakses melalui http://cultureandinformation.asean.org bagi orang ramai mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai aktiviti ASEAN-COCI selaras tujuan portal yang dilancarkan pada bulan Februari 2014 untuk memahamkan masyarakat ASEAN mengenai gabungan rantau ASEAN.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
27 November 2014.
Para Ketua Delegasi bergambar ramai bersama Menteri Penerangan Kemboja
Delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri mesyuarat ke-49 ASEAN-COCI
Pengerusi Komiti Nasional ASEAN-COCI Brunei Darussalam menyerahkan "Asiavision Award for Annual Outstanding TV News” kepada Menteri Penerangan Kemboja untuk diserahkan kepada “National Television of Cambodia”